Monday 12 June 2017

AKTIVITI - SKS13 PENGANJUR MALAYSIA INTERNATIONAL CHILDREN CHOIR FESTIVAL 2016



MUZIK adalah universal sifatnya dan tiada garis sempadan. Ia juga menyatukan manusia di dunia yang berbeza bangsa dan bahasa. Inilah yang dapat disaksikan di Malaysia International Children Choir Festival 2016 di Teater Negeri Shah Alam baru-baru ini.
Festival anjuran Sekolah Kebangsaan Seksyen 13, Shah Alam dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam dan Kementerian Pendidikan ini bermatlamat menyediakan platform dalam usaha membolehkan murid-murid memperluas pengalaman muzikal dan kesedaran estetik pelajar, memperkaya daya komunikasi serta interaksi melalui persembahan.

Dalam festival yang disertai oleh 15 kumpulan koir dari sekolah-sekolah di Malaysia dan antarabangsa seperti Filipina dan Indonesia menyaksikan koir Balon Dagupan dari Filipina mengungguli dua anugerah utama iaitu Piala Datuk Bandar Shah Alam dan pemenang pertama Diploma Emas.

Balon Dagupan yang berpakaian tradisional suku kaum Filipina berwarna-warni, menyanyikan lagu etnik Filipina dengan persembahan yang bersahaja tapi memikat. Persembahan koir Sunday School dari Indonesia yang membawa lagu etnik Batak juga tidak kurang hebatnya apabila mereka menyelitkan nilai-nilai budaya tradisional Indonesia yang unik.

Koir tempatan
 
Persembahan kumpulan koir dari Malaysia juga tidak menghampakan dari segi vokal, lagu dan gaya. Kumpulan koir sekolah aliran Cina menunjukkan persembahan yang membanggakan yang hampir setaraf dengan sekolah luar negara. Malah kumpulan koir sekolah aliran kebangsaan pun semakin bertambah baik persembahan mereka.
Kumpulan-kumpulan koir di negara ini perlu suntikan idea dari segi gaya persembahan iaitu bukan sekadar menyanyi atau lontaran suara semata-mata tetapi perlu ada gaya yang menarik dan prop yang relevan dengan lagu yang disampaikan.

Kehadiran wakil-wakil sekolah yang diundang untuk mengadakan persembahan juga suatu idea yang menarik. SMK Raja Muda menonjolkan bakat pelajar bermain angklung dalam lagu-lagu hari raya seperti Satu Hari Di Hari Raya.  

Persembahan tarian oleh murid-murid SK Pulau Meranti juga begitu memikat penonton. Gerak badan mereka menarikan tarian tradisional menunjukkan mereka telah berlatih dengan tekun hingga tidak nampak kekok beraksi di hadapan penonton.
Persembahan kumpulan undangan dari luar negara juga tidak kurang hebatnya. Persembahan Youthful Voices dari India dan Young Hit Young Beat dari Vietnam merancakkan dan menyerikan lagi pertandingan ini.

Antara tetamu kehormat yang hadir dalam majlis ini ialah Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Ahmad Zaharin Mohd Saad; Pengarah Bahagian Pengurusan Sekolah Berasrama Penuh dan Sekolah Kecemerlangan, Datuk Rashidah Md Arif; Pengarah Pendidikan Negeri Selangor, Mohd Salleh Kassim; dan Pegawai Pendidikan Daerah Petaling Perdana, Mohd Radzi Abdullah.

Sesungguhnya muzik dapat menyatukan murid-murid dari pelbagai sekolah, yang berbeza bangsa dan  bahasa. Ini dapat disaksikan ketika mereka beramai-ramai dijemput ke atas pentas. Jelas kemesraan antara mereka.


Semoga pada tahun-tahun akan datang kumpulan koir dari Malaysia dapat meningkatkan persembahan dari segi vokal atau lontaran suara, persembahan dan lagu yang dipilih agar pertandingan yang diadakan tidak terus didominasi oleh  kumpulan koir antarabangsa.

Keputusan pertandingan
Anugerah Datuk Bandar Shah Alam: Balon Dagupan, Filipna
Most Promising Overseas Choir: Balon Dagupan, Filipina
Most Promising Malaysia Choir: SJKC Chong Cheng, Pulau Pinang
Cultural Excellence Award: Sunday School, Indonesia
Best Conductor Winner: SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur

Anugerah Emas
1. Balon Dagupan, Filipina (Gred Emas A)
2. Sunday School, Indonesia (Gred Emas A)
3. SJKC Chong Cheng, Pulau Pinang
4. SJKC Kung Man, Selangor
5. SK Bukit Damansara, Kuala Lumpur
6. SJKC Chung Cheng, Perak

Perak
1. Sekolah Sri Bestari, Kuala Lumpur
2. SK Convent Kajang, Selangor
3. SJKC Kwang Hwa, Pulau Pinang
4. SK Seksyen 13, Shah Alam

Gangsa
1. SK St Mary, Sarawak
2. SK Convent Teluk Intan, Perak
3) SK Tg Ampuan Intan, Kuala Terengganu
4) SK Convent St Annes, Kulim, Kedah
5) SK Raja Muda, Shah Alam, Selangor

Informasi ini dicari dan disediakan oleh Iman Hezrin Bin Mohd Hasery, Tahun 5 Libra 2017
Rujukan SinarOnline

No comments:

Post a Comment

CERITA MENGENAI SEKOLAH KAMI

Bangunan Sekolah Sekolah Kebangsaan Seksyen 13  atau nama ringkasnya  SK Seksyen 13  merupakan sebuah Sekolah Kebangsaan yang terl...